Bagaimana Cara Memohon Menjadi Warganegara Malaysia

0
120
views

Bagaimana Cara Memohon Menjadi Warganegara Malaysia. Semua permohonan taraf kewarganegaraan hendaklah dikemukakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Hanya mereka yang memenuhi syarat seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan (Bahagian III) yang dibenarkan memohon. Borang permohonan boleh diperolehi dan diserahkan di mana-mana Jabatan Pendaftaran Negara.

Bagaimana Cara Memohon Menjadi Warganegara Malaysia

Apakah cara untuk mempercepatkan permohonan kewarganegaraan saya ?

Tuan/puan boleh mengemukakan surat dengan alasan-alasan kenapa memerlukan kewarganegaraan dengan secepat mungkin.

Mengapa permohonan Warganegara mengambil masa?

  • Setiap permohonan akan dikaji dengan teliti.
  • Setiap permohonan akan menjalani proses Tapisan Keselamatan oleh pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia).
  • Untuk memastikan setiap permohonan adalah tulen.

Apakah syarat utama untuk menjadi Warganegara Malaysia?

  • Berkelakuan baik dan tiada rekod jenayah.
  • Mempunyai pengetahuan yang memadai dalam Bahasa Melayu.
  • Menetap dalam tempoh yang lama.
  • Mempunyai komitmen yang tinggi dan telah berakar umbi di negara ini.
  • Memahami bahasa, budaya dan memenuhi kehendak Negara.
  • Menyumbang kepada masyarakat dan Negara.
  • Taat dan setia kepada Negara.

Saya telah memenuhi semua syarat permohonan tetapi kenapa permohonan saya gagal?

Memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk memohon menjadi warganegara hanya bagi membolehkan permohonan dikemukakan mengikut peruntukan yang bersesuaian dalam Perlembagaan Persekuktuan. Memenuhi syarat-syarat kelayakan bukan bermakna permohonan tersebut mesti diluluskan. Ini kerana kewarganegaraan bukanlah merupakan hak untuk dimiliki oleh warga asing yang membuat permohonan. Kewarganegaraan merupakan satu anugerah tertinggi Kerajaan Malaysia.

Bolehkah saya mengemukakan rayuan?

Sebarang keputusan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia adalah Muktamad dan tiada sebarang peruntukan rayuan di dalam Perlembagaan Persekutuan bagi permohonan yang tidak berjaya. Jika pemohon masih berminat untuk menjadi warganegara Malaysia, tuan bolehlah mengemukakan permohonan baru mengikut perkara yang bersesuaian.

Saya berkahwin dengan wanita asing dan menetap di luar negara. Kami telah memperolehi cahaya mata yang lahir di luar negara. Bagaimana dan di manakah saya boleh mendapatkan pengesahan agar anak saya ini memperolehi taraf kewarganegaraan Malaysia seperti saya?

a) Bagi kelahiran tidak melebihi tempoh setahun:

Jika tempoh kelahiran kanak-kanak tidak melebihi setahun, tuan boleh mendaftarkan kelahiran anak di Pejabat Perwakilan Malaysia di negara tuan menetap sekiranya tuan seorang warganegara Malaysia semasa kelahiran kanak-kanak.

b) Bagi kelahiran melebihi tempoh setahun:

Tuan/Puan boleh mengemukakan permohonan perlanjutan pendaftaran kelahiran luar negara kepada Kementerian Dalam Negeri dengan mengisi borang D dengan memberi alasan kenapa lewat mendaftar. Permohonan boleh dibuat di mana-mana Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara atau Pejabat JPN yang berhampiran jika tuan/puan telah balik ke Malaysia.

Saya dan isteri merupakan warganegara Malaysia dan menetap di luar negara. Kami mempunyai seorang anak yang mana kelahirannya tidak didaftarkan di Pejabat Konsulat. Apakah yang harus kami lakukan untuk mengekalkan taraf kewarganegaran Malaysia anak kami?

a) Bagi kelahiran tidak melebihi tempoh setahun:

Jika tempoh kelahiran kanak-kanak tidak melebihi setahun, tuan/puan boleh mendaftarkan kelahiran anak tuan/puan di Pejabat Perwakilan Malaysia di negara tuan/puan menetap.

✔ LIKE US FOR UPDATES ✔



b) Bagi kelahiran melebihi tempoh setahun:

Bagi bapa warganegara Malaysia dan lahir di luar Persekutuan, tuan/puan boleh mengemukakan permohonan perlanjutan pendaftaran kelahiran luar negara kepada Kementerian Dalam Negeri dengan mengisi Borang D dengan memberi alasan kenapa lewat mendaftar. Permohonan boleh dibuat di mana-mana Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara atau Pejabat JPN yang berhampiran jika tuan/puan telah balik ke Malaysia.

Bagi bapa mempunyai taraf warganegara Malaysia dan lahir di Persekutuan, tuan/puan boleh mengemukakan permohonan pengesahan taraf anak tuan/puan di mana-mana Pejabat Pendaftaran Negara.

Saya seorang perempuan warganegara Malaysia telah berkahwin dengan seorang lelaki warga asing. Saya telah melahirkan anak di Singapura. Bagaimana caranya supaya saya boleh mendaftarkan anak saya menjadi seorang warganegara Malaysia?

Anak puan mempunyai tuntutan kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang di bawah perkara 14 Pelembagaan Persekutuan. Puan boleh mengemukakan permohonan pengesahan taraf warganegara di mana-mana Jabatan Pendaftaran Negara berhampiran tempat tinggal puan atau Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara.

Saya seorang perempuan warganegara Malaysia telah berkahwin dengan seorang lelaki warga asing. Saya telah melahirkan anak di luar negara selain Singapura. Bagaimana caranya supaya saya boleh mendaftarkan anak saya menjadi seorang warganegara Malaysia?

Puan boleh memohon warganegara untuk anak mengikut peruntukan Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan. Puan boleh mengemukakan permohonan di mana-mana Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara yang berhampiran dengan tempat tinggal puan dengan membawa anak puan bersama atau dengan mengemukakan permohonan di Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara.

Saya telah dilahirkan di Malaysia dan pernah memohon untuk mendapatkan warganegara, tetapi ditolak. Mengapa saya tidak mendapat taraf warganegara Malaysia sedangkan saya lahir di Malaysia dan tidak pernah ke mana-mana?

Semua kelahiran yang berlaku di Malaysia adalah wajib didaftarkan dan Sijil Kelahiran akan dikeluarkan tanpa mengira taraf kewarganegaraan ibu atau bapa. Oleh itu, walaupun lahir di Malaysia dan memiliki Sijil Lahir kelahiran Malaysia tidak bermakna seseorang itu mempunyai tuntutan warganegara secara automatik. Penentuan taraf kewarganegaraan seseorang adalah berdasarkan taraf ibu bapa dan peruntukan undang-undang yang terpakai semasa kelahiran. Tuan/Puan perlu membuktikan dokumen-dokumen seperti Sijil Kelahiran dan dokumen ibu bapa sebelum sebarang keputusan mengenai taraf warganegara tuan/puan boleh ditentukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Saya seorang warganegara Malaysia memegang kad pengenalan (MyKad) dan lahir di luar negara tetapi tidak mempunyai sijil kelahiran atau sijil warganegara. Ibu bapa saya adalah warganegara Malaysia. Walau bagaimanapun, Jabatan Imigresen meminta kepada saya dokumen bukti bahawa saya seorang warganegara. Apakah dokumen bukti yang boleh saya kemukakan kepada Jabatan Imigresen?

Tuan/Puan boleh mengemukakan permohonan pengesahan taraf kewarganegaraan di JPN yang berhampiran di mana tuan/puan akan dikeluarkan Sijil Pengesahan Taraf Kewarganegaraan yang menjelaskan taraf kewarganegaraan tuan/puan mengikut peruntukan yang bersesuaian dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kewarganegaraan saya telah dilucutkan/ditolak. Bagaimanakah saya hendak menjadi warganegara Malaysia semula?

Tuan/Puan hendaklah mendapatkan status pemastautin tetap terlebih dahulu daripada Jabatan Imigresen. Setelah memenuhi tempoh bermastautin di Malaysia iaitu tidak kurang dari 12 tahun dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan mengikut perkara yang bersesuaian seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, tuan/puan bolehlah memohon kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan kebenaran Y.B Menteri di bawah Perkara 18(2) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan tuan/puan membuat permohonan menjadi warganegara Malaysia semula.

Setelah mendapat kelulusan tersebut, tuan/puan bolehlah membuat permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia semula yang bersesuaian dengan memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

*Sekiranya terdapat soalan lain, sila e-mailkan kepada [email protected] atau hantar mesej ke dalam inbox kami Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan

Disediakan oleh,

Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan.

Kementerian Dalam Negeri.


Untuk Lebih Banyak Maklumat Support Kami Dengan Klik ✔ Like Dibawah. Terima Kasih


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here