Kemas Rumah Tugas SUAMI Atau ISTERI. Seringkali menjadi pertikaian diantara mereka yang belum berkahwin terutamanya kerana mereka lebih suka mengelak dari mencari penyelesaian berbanding yang dah berkahwin pasti jarang untuk pertikaikan kerana mereka lebih memilih untuk beralah untuk kebahagiaan bersama.

Kemas Rumah Tugas SUAMI Atau ISTERI

kemas rumah

kredit : muftiwpkl

AL-KAFI #642: MENGEMAS RUMAH TUGAS SUAMI ATAU ISTERI?

Soalan: Adakah tugas mengemas rumah dan memasak itu menjadi tanggungjawab suami atau isteri?

Jawapan: Terima kasih atas soalan yang ditanya.

Dalam membina rumah tangga, kesepaduan antara dua belah pihak. yakni suami dan isteri, adalah amat penting. Perkara yang pertama perlu diwujudkan adalah melaksanakan tanggungjawab, kewajipan dan hak masing-masing. Dalam masa yang sama, perkara yang tidak kurang pentingnya bahkan itulah yang menjadikan rumahtangga sebagai baiti jannati adalah pengorbanan. Para suami berkorban untuk isterinya dan para isteri berkorban untuk suaminya. Dengan sebab itu, akan lahirlah kasih sayang seperti yang termaktub dalam Surah al-Rum. Natijah daripada perkahwinan adalah mendapat ketenangan, mahabbah (kasih sayang) dan juga rahmah yang melahirkan cinta dan kebahagiaan.

Al-Qur’an sendiri telah mengajar suami supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik samada daripada sudut adat dan yang lebih penting lagi berlandaskan syariat. Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Jumhur ulama’ berpendapat wajib atas suami berkhidmat kepada isterinya yang tidak mampu dan tidak layak untuk dia menguruskan dirinya sendiri. Ini kerana ia seolah-olah sebahagian daripada nafkah isteri ke atas suami dan ulama sepakat jika sekiranya isterinya sakit atau ditimpa keuzuran sehingga tidak mampu menguruskan diri sendiri untuk suami berkhidmat kepada isterinya.

Walaupun begitu, dalam mazhab Maliki wajib bagi suami menolong isterinya dalam berkhidmat jika suaminya kaya dan isterinya mempunyai kedudukan yang tidak sesuai melaksanakan tugas tersebut kerana dengan pelaksanaan tersebut akan mengurangkan darjat kedudukan isterinya itu. Lihat al-Syarh al-Kabir dan Hasyiah al-Dusuki (2/510).




Koleksi Cerita Lawak
Koleksi Artikel Tips dan Info Cinta

Sedangkan mazhab Hanafi pula berpendapat jika isteri enggan mengisar tepung atau menguli roti di mana beliau tidak sesuai untuk tugasan itu atau kerana sakit, maka hendaklah suami menyediakan makanan yang sudah siap. Sebaliknya jika mampu, maka hendaklah isteri melaksanakan tugas tersebut dan tidak wajib atas suaminya. Hujahnya adalah Rasulullah SAW membahagikan tugasan Ali dan Fatimah di mana Ali bertugas di luar rumah sedangkan dalam rumah di tugaskan kepada Fatimah. Lihat Fath al-Bari (9/507).

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu’asirah (terj.) 3/144 menyebut, “Perkhidmatan khadam merupakan salah satu bentuk pergaulan yang baik (kepada isteri). Tidak wajib mendapatkan khadam lebih daripada satu kerana haknya adalah khidmat dirinya sendiri.”

Berdasarkan kepada banyak nas dan juga nasihat salafussoleh, jelas menunjukkan para isteri amat perlu berkorban dalam ruang lingkup kerumahan sehingga dialah yang mentadbir dan mengasuh serta menguruskan rumah. Isteri digelar dalam Bahasa Arab sebagai rabbatul bayt memberi maksud tuan atau pengurus rumah.

Saidina Umar RA ketika menasihatkan Aqil RA berkenaan kedudukan isteri telah mengalasankan dengan banyaknya tugas isteri di rumah seperti mengasuh, memasak dan seumpamanya. Inilah juga yang dilakukan Asma’ binti Abu Bakr dalam membantu suami, al-Zubair Ibn al-Awwam. Hal ini tidak pelik dalam tradisi semua bangsa termasuklah sejarah Fatimah al-Zahra’ yang membantu suaminya Ali bin Abi Talib RA dengan mengisar gandum dan sebagainya. Begitu juga apa yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang berkorban untuk para suami dan keluarga mereka.

Dalam Raudhah al-Nadiyyah oleh Sayyid Siddiq Hasan Khan menyebut: “Ia berbeza mengikut tempat dan masa, keadaan seseorang individu. Nafkah di masa mewah dengan cara baik dan di waktu ekonomi meleset dengan cara yang sepatutnya.”

Walaupun begitu, suami yang berkemampuan sebaiknya hendaklah meringankan bebanan isteri seperti mengupah orang gaji atau membeli beberapa peralatan bagi memudahkan urusan isteri masing-masing seperti mesin basuh, alat memasak yang moden seperti periuk nasi dan lain-lain yang sudah barang tentu akan meringankan dan menyenangkan isteri.

Justeru, kami katakan bahawa dengan memahami tugas dan tanggungjawab serta realiti sebuah kehidupan dalam mengasuh mendidik anak bangsa generasi seterusnya, persefahaman dan pelaksanaan tugas serta sikap toleransi, bantu-membantu antara suami isteri boleh menatijahkan kebahagiaan sehingga terjadilah baiti jannati. Isteri dan anak-anak menjadi qurratul ain kepada suami masing-masing. Akhir kalam kami berdoa kepada Allah sebagaimana dinyatakan

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua’lam

kredit : MuftiWPKL