Apa itu Aflatoksin ?







Apa itu Aflatoksin?

Aflatoksin adalah kumpulan mikotoksin yang terbentuk secara
semulajadi daripada kulat yang tertentu sahaja terutama sekali
Aspergillus flavus dan Aspergillus parasiticus.

Bagaimana makanan boleh dicemari Aflatoksin?

Keadaan yang boleh menyebabkan makanan dicemari Aflatoksin:
*Makanan yang terdedah kepada kelembapan persekitaran yang
tinggi dalam tempoh masa yang panjang.

*Makanan yang disimpan dalam keadaan berlonggok atau disimpan
dalam kuantiti yang banyak yang menghalang pengaliran udara yang baik.

Apakah kumpulan makanan yang biasa dicemari Aflatoksin?

Kekacang dan hasilannya seperti kacang tanah,
mentega kacang, badam dan sebagainya.
Bijirin dan hasilannya seperti jagung, beras, gandum, sekoi,
minyak kacang soya, minyak jagung, minyak biji matahari dan sebagainya.
Rempah-ratus seperti cili, lada hitam, kunyit, halia,
ketumbar dan sebagainya.
 

Apa kesan Aflatoksin terhadap kesihatan?

Pendedahan terhadap Aflatoksin pada paras yang tinggi dan berpanjangan berkemungkinan boleh menyebabkan barah hati dan keracunan makanan (Aflatoksikosis).

Siapakah yang paling berisiko terdedah kepada Aflatoksin?

Pengguna yang berisiko tinggi terdedah kepada keracunan Aflatoksin
adalah pengguna yang paling kerap mengambil makanan
seperti kekacang dan hasilannya, bijirin dan hasilannya dan
rempah-ratus. Ia juga lebih berisiko kepada seseorang yang
berpenyakit hepar atau mempunyai jangkitan virus Hepatitis B.

Berapakah paras Aflatoksin yang dibenarkan dalam makanan?

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,
kadar maksimum yang dibenarkan adalah:

Kacang tanah untuk diproses - 15 ug/kg cemaran Aflatoksin
Kacang tanah sedia dimakan - 5 ug/kg cemaran Aflatoksin
Susu - 0.5 ug/kg cemaran Aflatoksin
Lain-lain makanan - 5 ug/kg cemaran Aflatoksin atau mikotoksin lain

Mengapa Peraturan hanya ditetapkan untuk makanan tertentu sahaja?

Peraturan yang ditetapkan lebih difokuskan kepada
produk makanan yang berisiko tinggi dan kerap
dicemari Aflatoksin. Makanan tersebut juga biasanya diambil
dalam kuantiti yang banyak.

 Apa yang perlu dilakukan oleh pengguna?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan
orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat, makan makanan
yang seimbang dan diet yang sihat termasuklah buah-buahan
dan sayur-sayuran. Kekacang dan bijirin juga boleh
dimakan dalam jumlah yang sederhana.

Simpan makanan di tempat yang kering dan kedap udara
mengikut arahan penyimpanan yang betul seperti
dinyatakan pada label.

Sebelum membeli bijirin atau kekacang,
pilihlah dengan berhati-hati.

Elakkan mengambil makanan yang menunjukkan tanda-tanda
kerosakan seperti ditumbuhi kulat,
perubahan dari segi fizikal dan sebagainya.

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

3 ulasan

Jahirah berkata...

gud info...

Arra Ahmad berkata...

baru tau ape kebendanya..thanks..:)

AbgferOz berkata...

aishah : thanks :P

arra : hehehe.. same la kita :)~

Dikuasakan oleh Blogger.