Biodata Tun Abdul Razak Hussein





Biodata Perdana Menteri Malaysia Ke 2 Tun Abdul Razak HusseinTun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang ke 2, beliau menggantikan Tunku Abdul Rahman memimpin negara dari tahun 1970 hingga 1976. Tun Abdul Razak Hussein Dilahirkan di Pulau Keladi, Pahang pada 11 Mac 1922, Tun Razak merupakan anak sulung kepada Dato’ Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud. Beliau mendapat pendidikan awal di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1934 dan merupakan seorang pelajar yang cemerlang.

Biodata Perdana Menteri Malaysia Ke 2 Tun Abdul Razak Hussein

Tun Abdul Razak Hussein
Tun Abdul Razak Hussein

Selepas berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Melayu di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1939, beliau dianugerahkan biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di Kolej Raffles, Singapura pada 1940. Pembelajarannya di kolej tersebut tergendala disebabkan tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Melalui biasiswa Malayan Union, Tun Razak melanjutkan pelajarannya dalam bidang undang-undang pada tahun 1947 di Britain. Pada tahun 1950, beliau menerima Degree of an Utter Barrister daripada Lincoln’s Inn. Semasa di England, Tun Razak merupakan ahli Parti Buruh British dan seorang pemimpin pelajar Kesatuan Melayu Great Britain yang terkenal. Beliau juga menubuhkan Malayan Forum, satu organisasi untuk pelajar-pelajar Malaya membincangkan mengenai isu politik negara mereka.

Sekembalinya ke tanahair, Tun Razak menyertai Perkhidmatan Awam Malaya. Tun Razak merupakan seorang yang berkaliber dalam politik, ini terbukti kerana pada tahun 1950 beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Dua tahun kemudian, beliau menjadi Setiausaha Kerajaan Pahang dan pada Februari 1955, pada usia 33 tahun, beliau menjadi Menteri Besar Pahang. Beliau bertanding dan menang dalam pilihanraya umum negara yang pertama pada Julai 1955 dan dilantik menjadi Menteri Pendidikan. Tun Razak juga merupakan ahli rombongan ke London bagi menuntut kemerdekaan daripada British pada Februari 1956.

Selepas pilihanraya umum 1959, beliau menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar disamping memikul tugas-tugasnya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Kejayaan yang dicapainya termasuk merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap keperluan negara, yang dikenali sebagai ‘Buku Merah’. Pada September 1970, Tun Razak menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein
Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein

Tun Razak juga dikenali sebagai orang yang bertanggungjawab dalam melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971. Beliau dan “generasi kedua” ahli politik Melayu melihat akan perlunya untuk menyelesaikan perbezaan ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh mangsa perkauman. DEB meletakkan dua matlamat asas – untuk mengurangkan dan menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula kegiatan ekonomi.

Tun Razak menubuhkan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973 untuk menggantikan parti memerintah, Parti Perikatan. Beliau telah berjaya menambah bilangan ahli parti dan menjana perpaduan untuk membentuk ketahanan nasional melalui kestabilan politik.

Tun Abdul Razak dikenali sebagai Bapa Pembangunan bagi menghargai segala sumbangannya di dalam pembangunan kebangsaan dan luar bandar.

Sumber : Pejabat Perdana Menteri

Biodata Perdana Menteri Malaysia 1 Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
Biodata Perdana Menteri Malaysia 2 Tun Abdul Razak Hussein
Biodata Perdana Menteri Malaysia 3 Tun Hussein Onn
Biodata Perdana Menteri Malaysia 4 Tun Mahathir bin Mohamad
Biodata Perdana Menteri Malaysia 5 Abdullah bin Ahmad Badawi
Biodata Perdana Menteri Malaysia 6 Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.