Bagaimana Sekiranya Terlupa Niat Puasa





Bagaimana Sekiranya Terlupa Niat Puasa. Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa ”. (Surah Al-Baqarah Ayat 183)

Bagaimana Sekiranya Terlupa Niat Puasa

doaSaya merupakan seorang saudara baru (mualaf). Dalam bulan Ramadhan tahun lalu, saya telah mula menjalani ibadah puasa seperti umat Islam yang lain. Alhamdulillah saya dapat mengerjakan ibadah tersebut dengan baik dan selesa sekali.

Semoga ibadah saya diterima Allah SWT. Pada malam yang ke 27 Ramadhan, saya telah berqiamullail. Akan tetapi terlupa untuk berniat puasa dan juga bersahur pada malam tersebut.

Pada keesokan harinya, saya berpuasa seperti biasa. Jadi saya ingin bertanya, adakah puasa saya itu dikira sah dan diterima oleh Allah SWT? Mohon penjelasan dari tuan berkaitan masalah saya ini.
Sekian terima kasih.

JAWAPAN:
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara kerana telah memilih Islam sebagai pegangan. Semoga saudara sentiasa dirahmatiNya.

Jawapan kepada permasalahan saudara adalah seperti berikut: Puasa saudara pada hari tersebut adalah tidak sah kerana saudara tidak berniat puasa pada malamnya. Namun tindakan saudara dengan berpuasa (tidak berbuka) pada siangnya adalah betul, kerana walaupun saudara dikira sebagai tidak berpuasa, namun anda masih wajib menahan diri (imsak) daripada makan, minum dan sebagainya. Pandangan ini adalah berdasarkan pendapat Mazhab Imam Syafie.

Sehubungan itu, untuk Ramadhan yang akan datang, adalah dinasihatkan supaya saudara berniat puasa satu bulan Ramadhan pada malam pertama lagi seperti “Sahaja aku puasa satu bulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta’ala”. Ini adalah sebagai langkah berhati-hati dan jika dikhuatiri terlupa berniat, maka kita masih boleh meneruskan puasa kita itu dan sah hukumnya. Langkah ini adalah bersandarkan kepada pandangan atau pendapat Imam Malik. Namun menurut Mazhab Syafie, niat puasa Ramadhan perlu dilakukan tiap-tiap hari (pada malamnya) sebagai syarat sah puasa.

Oleh yang demikian, maka bolehlah kita mengikut kedua-dua pendapat mazhab tersebut iaitu berniat puasa satu bulan Ramadhan pada malam satu Ramadhan dan juga berniat pada tiap-tiap malamnya. Jadi, jika ditakdirkan berlaku lagi seperti masalah ini, maka puasa anda sah dan tidak perlu untuk mengqadanya.

Sumber : MuftiWP

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.