Apa Itu Harta Sepencarian ?





Apa Itu Harta Sepencarian. Harta sepencarian adalah harta yang diperoleh dalam masa perkahwinan seorang suami dengan isterinya hasil daripada sumber-sumber atau usaha mereka bersama. Harta sepencarian juga dikenali sebagai carian laki bini, pencarian, Gono-gina, hareuta sihreukat, harta Suarang dan lain-lain.

Apa Itu Harta Sepencarian?

Apa Itu Harta Sepencarian

Sebenarnya di Malaysia harta sepencarian ini berasal daripada amalan adat dalam kalangan masyarakat Melayu iaitu adat Temenggung dan adat Perpatih.Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan sebahagian kecil Melaka manakala adat Temenggung diamalkan di negeri-negeri selain dari negeri di atas.

Adat Temenggung mentakrif harta sepencarian sebagai harta yang diperoleh oleh kedua-dua suami dan isteri semasa perkahwinan. Seandainya perkahwinan itu telah mencapai usia tiga tahun dan pasangan telah mempunyai anak, maka harta sepencarian adalah harta yang pasangan peroleh atau miliki sebelum mereka berkahwin.Mengikut prinsip asasnya, jika pasangan bercerai atau salah seorang daripada pasangan meninggal dunia maka kedua-dua pihak berhak mendapat bahagian di dalam harta sepencarian tersebut (dalam hal perceraian) atau pasangan yang masih hidup berhak mendapatkan harta sepencarian (dalam hal kematian).

Pada dasarnya tidak terdapat dalil khusus di dalam al-Quran dan al-Sunnah yang menerangkan kedudukan Harta Sepencarian dalam Islam. Pemakaiannya diambil dari segi kaedah ‘uruf. Dalam perundangan Islam, apabila sesuatu ‘uruf diakui kebaikannya dan diberi pengiktirafan undang-undang, maka ia bertukar menjadi suatu peraturan yang mesti diikuti.

DALIL DAN PENDAPAT ULAMA’

Harta sepencarian bukan lagi soal adat semata-mata bahkan telah dikanunkan dalam perundangan dan mengikut prinsip-prinsip Hukum Syara’. Perkara ini boleh dilihat dalam kaedah fiqh Islam yang ada seperti yang dijelaskan oleh al-Sayuti dalam kitab “al-Asybah wa al-Nazair fi al-Qawaid wa al-Furu’ ” di halaman 354 bahawa;
“Adat resam sesuatu bangsa atau kaum yang tidak bertentangan dengan Islam adalah boleh diterima pakai sebagai sebahagian daripada peraturan hidup dan perundangan bagi sesebuah Negara”.

Di dalam kaedah fiqh atau “al-qawaid al-Fiqhiyyah” ia dikenali dengan kaedah “al-Adat Muhakkamah”. Adat yang juga dikenali dengan ‘urf menurut jumhur fuqaha’ telah ditakrifkan sebagai “sesuatu yang telah menjadi kebiasaan oleh manusia dan mematuhinya dalam urusan kehidupan harian sehingga sebati dengan mereka dan menjadi suatu perkara yang lumrah, sama ada ‘urf itu qauli atau amali, am atau khas, sahih atau fasid”. Ini ditakrifkan oleh Abdul Karim Zaidan dalam kitab al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, halaman 252 dan kitab al-Qawaid al-Fiqhiyyah oleh Haji Muhamad Soleh bin Haji Ahmad, Pustaka Haji Abdul Majid di halaman 622.

Agama Islam mengiktiraf pemilikan setiap individu terhadap harta. Setiap individu termasuk suami dan isteri berhak memiliki sebarang harta kerana ikatan perkahwinan Islam sama sekali tidak menafikan atau membataskan hak tersebut. Islam menganggap harta sepencarian sebagai satu cara pengiktirafan harta yang boleh dimiliki oleh seseorang di atas daya usahanya untuk memiliki harta tersebut. Harta Sepencarian ialah harta yang dimiliki atau diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan usaha secara langsung atau tidak langsung. Ini dibuktikan melalui firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Nisa’, ayat 32;

Maksudnya: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia Yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian Yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Al-Imam al-Shafie telah berkata di dalam kitabnya “al-‘um”, halaman 328;
اذا اختلف الرجل والمراة فى متاعالبيت الذي هما فيه ساكنان وقد افترقا او ماتا او مات احدهما فاختلف ورثتهما او ورثت احدهما بعد موته فذالك كله سواء

Maksudnya: “Apabila berlaku pertelingkahan antara seorang lelaki dan seorang perempuan terhadap mata benda atau perkakas rumah yang mana kedua mereka mendiami rumah berkenaan, kerana mereka berpisah (bercerai); atau sekali pun tidak berpisah; atau kedua suami isteri itu meninggal dunia; atau salah seorang daripada mereka berdua meninggal dunia; yang mana dalam keadaan kedua suami isteri itu meninggal dunia; atau salah seorang daripada mereka berdua meninggal dunia, berlaku pertelingkahan di antara waris kepada kedua-dua pihak atau pertelingkahan oleh waris kepada salah satu dari kedua pihak itu; maka kedudukan cara penyelesaian semuanya adalah serupa…..?”

Tambahan lagi, Mahkamah juga merujuk kepada pendapat Ibn Qayyim yang menyebut di dalam kitabnya “ Al-Turuq al-hukmiyyah fi al-siyasah al-Syari’iyyah, di halaman 30;
Bermaksud: Yang demikian sebilangan besar Ahli Perundangan (Jumhur fuqaha’) menyatakan kes dakwaan dua orang suami isteri berhubung dengan perabot rumah dan kes dua orang tukang rumah berhubung dengan sebuah kedai, bahawa pendapat yang menyatakan percakapan orang yang ada menunjukkan satu petunjuk di atas kebenarannya itulah yang diterima. Dan yang tepat dalam persoalan seperti ini tidak boleh dianggap semata-mata kerana memegang dengan tangan atau menguasai atas sesuatu harta dengan mendapat nama dalam geran tanah dan sebagainya akan menjadikan haknya seorang sahaja, malah adanya sama seperti ketiadaannya, dan jika ini boleh diterima, nescaya kita akan terima juga pengakuan seorang yang merampas serban daripada seorang yang sedang mengikutinya dibelakangnya dalam keadaan kepalanya terdedah tanpa kain serban. Oleh itu kami memutuskan bahawa ini adalah tangan yang zalim lagi perampas. Maka tidak boleh diterima pengakuannya”.

Al Bajuri pula menjelaskan di dalam “Hasyiah al-Bajuri” Juz. 2, halaman 347 dan 348 bahawa maksudnya;
“Jikalau keduanya mendakwa sesuatu sama ada pada pemilik salah seorang daripadanya, maka kata pemutusnya ialah pemilik itu sendiri dengan sumpah tetapi jikalau ketika itu dalam milik kedua-duanya, maka kedua-duanya hendaklah bersumpah, kemudian barang-barang itu termasuk hamparan yang diduduki dan unta yang ditunggang, dan juga rumah yang didiami”.

Mahkamah juga merujuk kepada Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Pahang 2005 (Enakmen 3) yang mentakrifkan Harta Sepencarian sebagai “Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak”.

Kuasa Mahkamah dalam memerintahkan harta sepencarian diperuntukkan di dalam Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2005 (Enakmen 3) iaitu :-

122. (1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan dibahagi antara pihak-pihak itu.

KEHENDAK UNDANG-UNDANG BERKAITAN HARTA SEPENCARIAN

Di dalam menentukan apa-apa aset/harta sebagai Harta sepencarian, kita hendaklah memahami kehendak undang-undang bahawa maksud harta sepencarian itu boleh wujud dalam tiga keadaan iaitu:-

1) Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’, dengan usaha bersama mereka;

2) Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’, dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu; dan

3) Harta yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’ oleh pihak yang satu itu atau dengan usaha bersama suami isteri.

Dalam kes dari Wilayah persekutuan, Yang Chik lwn. Abdul Jamal (1986) 6 JH 146, Sheikh Ghazali bin Haji Abdul Rahman, Kadi Besar telah berkata:
“Konsep harta sepencarian ialah harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan dengan masing-masing suami isteri sama-sama menyumbang tenaga atau wang ringgit untuk mendapat harta tersebut”.

Jika si suami yang menceraikan tanpa ada sebarang kesilapan di pihak isteri, 
suami mestilah memberi nafkah selama tiga bulan dan semua harta perlu dibahagikan. Harta yang merupakan senjata atau alat perang diserahkan kepada suami. Dia juga akan menanggung apa-apa hutang atau cukai. Sementara semua perkakasan rumah dan tembaga akan diserahkan kepada isteri. Isteri juga akan mendapat rumah perkahwinan yang mereka diami serta tanah.
Jika si isteri yang memohon cerai, 
Isteri hanya akan memperoleh perceraian jika dia dapat membuktikan kesnya (fasakh) dan selepas perceraian, isteri perlu mengembalikan semua harta boleh alih kepada suaminya. Ini bermakna, mengikut adat Temenggung, isteri tidak boleh memohon cerai dan jika dia berbuat demikian, dia kehilangan hak harta boleh alih daripada suaminya.
Undang-undang adat Temenggung ini berbeza-beza dari satu negeri ke negeri yang lain. Contohnya di Perak, apabila perceraian berlaku, seorang isteri yang telah menyumbangkan usahanya mengerjakan tanah milik pasangan tersebut, adalah berhak ke atas separuh daripada tanah yang diperoleh ketika perkahwinan.
Sedangkan, jika dia tidak memberikan apa-apa sumbangan, dia tetap akan mendapat 1/3 daripada harta sepencarian.
Prinsip yang sama juga terpakai seandainya mana-mana pasangan meninggal dunia. Harta yang selebihnya akan diberikan kepada anak-anak atau ahli keluarga yang lain mengikut hukum faraid.

HUKUM SYARAK

Islam menerima pemakaian apa-apa adat selagi ia tidak bertentangan dengan hukum syarak. Jika dilihat kepada dua kes yang lama itu, jelas bahawa tuntutan harta sepencarian telah berlaku sebelum merdeka iaitu seawal 1919. Ia bukan perkara baharu di Malaysia dan akhirnya hukum adat ini dikanunkan sebagai sebahagian daripada Undang-undang Islam yang ada di Malaysia.

Adat Perpatih juga turut memperuntukkan mengenai harta sepencarian. Namun begitu ia menggunakan prinsip yang agak berbeza. Menurut adat ini harta sepencarian perlu dibahagikan mengikut prinsip berikut: Carian Bahagi, Dapatan Tinggal, Pembawa Kembali, Suku Belah, Suarang Berage. Maksudnya apa-apa harta yang diperoleh ketika berkahwin perlulah dibahagi di antara pasangan seandainya mereka bercerai. Jika mereka tiada anak dan suami mati maka harta itu akan menjadi milik isteri, prinsip yang sama juga terpakai jika isteri yang mati.

Tetapi jika mereka mempunyai anak, maka pembahagian yang akan dilakukan ke atas harta tersebut perlulah dibincangkan terlebih dahulu dengan semua benefisiari. Di dalam adat ini juga harta sepencarian tidak termasuk apa-apa harta yang diperoleh oleh suami sebelum perkahwinan dan dibawa masuk ke dalam perkahwinan. Harta tersebut akan dipulangkan kepadanya semula jika bercerai dan jika mati kembali kepada sukunya. Prinsip yang sama juga diaplikasikan kepada isteri.

Pembahagiannya akan dilakukan setelah semua hutang dilangsaikan. Jumlahnya adalah sama rata di antara suami dan isteri walaupun mereka mempunyai anak ataupun isteri itu diceraikan kerana berzina. Pengecualian kepada prinsip pembahagian ini adalah jika perceraian itu adalah cerai taklik. Dalam hal ini maka si isteri akan mendapat keseluruhan harta sepencarian.

KESIMPULAN

Walaubagaimanapun, penerangan di atas hanyalah penerangan umum yang mana terdapat beberapa isu yang timbul dari harta sepencarian berdasarkan fakta kes.

Antaranya, isu harta sepencarian yang melibatkan harta felda, rezab melayu dan sebagainya yang memerlukan penerangan yang lebih detail kerana melibatkan peruntukan undang-undang yang berbeza seperti Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, Enakmen Rizab Melayu dan sebagainya.

Pihak-pihak yang ingin membuat permohonan dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat guaman yang lebih terperinci dari mana-mana peguam syarie/ peguam JBG bertauliah.

kredit : Info Santai Syariah

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.