3 Orang SAH POSITIF Novel Coronavirus Dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh





3 Orang SAH POSITIF Novel Coronavirus Dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Merujuk kepada Kenyataan Akhbar KPK bertarikh 24 Januari 2020 di mana Kementerian Kesihatan Singapura telah memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terdapat seramai lapan (8) orang kontak rapat kes import novel coronavirus (2019-nCoV) pertama Singapura yang dikesan berada di Johor Bahru.

3 Orang SAH POSITIF Novel Coronavirus Dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh

2019-nCoV
2019-nCoV

Lapan kontak tersebut adalah terdiri daripada empat (4) orang dewasa dan empat (4) orang kanak-kanak dan kesemuanya adalah warganegara China.

Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kesemua mereka diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam semalam telah mengesahkan tiga (3) kes yang disahkan dijangkiti 2019 novel coronavirus (2019-nCoV).

Tiga kes positif tersebut merupakan ahli keluarga terdekat kepada kes positif pertama di Singapura iaitu isteri dan dua (2) orang cucu lelaki beliau. Ketiga-tiga kes kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan selanjutnya dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil. Manakala lain-lain kontak yang dikesan adalah negatif bagi 2019-nCoV, tiada gejala dan telah dihantar pulang ke China.

Sehingga kini, cara jangkitan 2019-nCoV masih tidak diketahui dengan jelas. Kes yang dikesan didapati mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.

Terdapat bukti yang menunjukkan berlakunya penularan dari seorang individu kepada individu yang lain (human-to-human transmission), khususnya dalam kalangan kontak rapat.

Orang ramai adalah diingatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut, khususnya kepada para pengembara semasa berada di negara China dan selepas pulang ke Malaysia:

• Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer);

• Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (face mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu;

• Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala;

• Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan;

• Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari memakan sebarang produk haiwan mentah / tidak dimasak dengan sempurna;

• Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut. Begitu juga, maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

kredit : Noor Hisham Abdullah

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.