Bantuan Alat Perubatan Sehingga RM20000 PeKa B40





Bantuan Alat Perubatan Sehingga RM20000 PeKa B40. Apa Itu PeKa B40 ? Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) adalah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Bantuan Alat Perubatan Sehingga RM20000 PeKa B40

PeKa B40 ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40% terendah, yang dikenali sebagai kumpulan B40. Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan mereka, yang berumur 40 tahun dan ke atas, secara automatik layak menyertai PeKa B40. Tiada pendaftaran khusus diperlukan untuk menyertai PeKa B40.

Tiada sebarang bayaran akan dikenakan. Semua manfaat PeKa B40 diberikan secara percuma.

Konsep PeKa B40


  • RM100 juta diperuntukkan melalui Belanjawan 2019 untuk PeKa B40.
  • Bermula sebagai projek perintis dan dianggarkan dapat menampung 800,000 penerima sebagai permulaan.
  • Ianya adalah percuma kepada penerima PeKa B40.
  • Ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40% terendah, yang dikenali sebagai kumpulan B40. Kelayakan menyertai PeKa B40 adalah berdasarkan kriteria berikut:
    • Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar.
    • Berumur 40 tahun dan ke atas.
  • Penyertaan adalah secara automatik dan tiada pendaftaran diperlukan.

PeKa B40 diwujudkan atas fakta-fakta berikut:
Beban Penyakit Tidak Berjangkit
– 47.6% kumpulan B40 berumur 40 tahun dan ke atas menghidapi sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit yang belum didiagnosis.

Kesihatan Mental
– 3 daripada 10 orang dewasa menderita masalah kesihatan mental. Kumpulan B40 mencatat kadar yang lebih tinggi, iaitu 32% berbanding 28% bagi kumpulan bukan B40.

Beban Kanser
– Kes kanser semakin meningkat. Lebih membimbangkan lagi apabila 60% dikesan pada peringkat lewat, di mana peluang untuk sembuh adalah lebih rendah

Rawatan Kanser
– Ramai pesakit tidak melengkapkan rawatan kanser dan hanya kembali semula ke hospital apabila sudah tenat. Ini menipiskan peluang sembuh dan meningkatkan kos rawatan.

Kos Alat Perubatan
– Walaupun rawatan di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi subsidi yang tinggi daripada Kerajaan, sebahagian kos alat perubatan masih perlu ditanggung oleh pesakit seperti kos untuk perentak jantung, implan untuk tulang belakang, dan sebagainya. Ini menambah beban kewangan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Masalah Pengangkutan
– Ramai pesakit yang kurang berkemampuan, terutamanya di kawasan pedalaman, tidak meneruskan rawatan akibat kekangan kewangan untuk membayar tambang pengangkutan.

Anda boleh membuat saringan kesihatan di mana-mana klinik swasta yang berdaftar dengan PeKa B40 dan mempunyai pelekat PeKa B40 di pintu klinik, atau lihat sini – Senarai KLINIK B40

Bantuan Alat Perubatan

  1. Bagaimana cara untuk memohon bantuan alat perubatan?
    • Permohonan Bantuan Alat Perubatan adalah melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan di Hospital KKM sahaja.
    • Pegawai Perubatan atau pakar yang merawat penerima PeKa B40 akan membuat rujukan kepada Pegawai Kerja Sosial Perubatan untuk proses permohonan.
    • Pegawai Perubatan atau pakar yang merawat juga akan mengesahkan apakah peralatan perubatan yang memerlukan bantuan.
  2. Apakah kategori Bantuan Alat Perubatan yang ditawarkan?
    • Terdapat 10 jenis kategori Bantuan Alat Perubatan yang ditawarkan berdasarkan pengesahan oleh pakar di Hospital KKM:
      1. Stent untuk jantung
      2. Alat sendi tiruan
      3. Alat bantuan pendengaran
      4. Perentak jantung
      5. Prostesis & implan untuk tulang belakang
      6. Prostesis dan ortosis tulang anggota
      7. Kanta mata intraokular (untuk pesakit katarak)
      8. Alat terapi pernafasan dan oxygen concentrator
      9. Bantuan sokongan nutrisi
      10. Kerusi roda
    • Had maksima Bantuan Alat Perubatan yang dapat dibiayai oleh PeKa B40 adalah RM20,000 (seumur hidup). Ianya juga tertakluk kepada julat harga dalam setiap kategori peralatan.
  3. Apa berlaku sekiranya kos alat perubatan yang dipohon kurang daripada RM20,000?Selama PeKa B40 dilaksanakan oleh Kerajaan, penerima boleh memohon pelbagai bantuan alat perubatan di dalam senarai yang dikenalpasti, selagi baki jumlah RM20,000 mesih ada. Contohnya, seorang penerima yang telah mendapat bantuan kanta mata intraokular masih boleh memohon bantuan untuk perentak jantung pada masa yang berlainan.
  4. Adakah ahli keluarga juga akan mendapat manfaat Bantuan Alat Perubatan ini?PeKa B40 hanya layak kepada Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar, yang berumur 40 tahun ke atas sahaja. Setiap orang mempunyai had bantuan RM20,000 (seumur hidup). Ianya tidak boleh dipanjangkan kepada ahli keluarga yang lain.

Manfaat 3: Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser

  1. Berapakah nilai insentif yang diberikan?
    • Jumlah insentif adalah sebanyak RM1,000 untuk menggalakkan pesakit melengkapkan rawatan kuratif di Hospital KKM seperti mana saranan doktor yang merawat.
    • Manfaat 3 ini tidak merangkumi rawatan tradisional atau alternatif.
    • Ia akan diberikan dalam dua (2) peringkat.
      • Peringkat pertama – RM300, apabila permohonan diterima daripada Hospital KKM mengikut proses yang ditetapkan dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun penerima seperti mana proses Bantuan Sara Hidup (BSH) juga.
      • Peringkat kedua – RM700, setelah penerima manfaat tamat pelan rawatan kanser seperti yang disahkan oleh doktor yang merawat juga akan dikreditkan secara terus ke dalam akaun.
  2. Siapakah yang akan membantu dalam membuat permohonan insentif ini?
    • Sekiranya penerima PeKa B40 menghidap kanser dan masih dalam rawatan, doktor atau pakar perubatan yang merawat akan membuat permohonan bagi pihak penerima.
  3. Jika tidak menghabiskan rawatan kanser yang terakhir, bolehkah memohon insentif ini?
    • Insentif ini diwujudkan bagi menggalakkan pesakit kanser melengkapkan rawatan mereka. Syarat bagi mendapatkan insentif yang kedua adalah pesakit mesti akur pelan rawatan doktor dan melengkapkan rawatan sepenuhnya.
    • Insentif akan diberikan berdasarkan pengesahan doktor atau pakar perubatan yang merawat atas dasar kepakaran mereka untuk menentukan pencapaian peringkat lengkap rawatan.
    • Insentif ini juga hanya diberikan kepada penerima yang masih hidup sahaja dan tidak boleh dituntut oleh waris.
  4. Sekiranya penerima PeKa B40 sedang menerima rawatan kanser, adakah mereka layak untuk manfaat ini?
    • Ya. Penerima PeKa B40 yang sedang menjalani rawatan kanser layak untuk menfaat ini. Namun saringan kesihatan masih perlu dijalankan dan/ atau keputusan saringan dimasukkan ke dalam pangkalan data PeKa B40. Jika saringan kesihatan belum dijalankan, doktor atau pakar perubatan di hospital akan menasihati bagaimana untuk melakukan saringan kesihatan.

Manfaat 4: Insentif Tambang Pengangkutan

  1. Bagaimanakah bentuk insentif tambang pengangkutan ini?
    • Insentif tambang pengangkutan akan diberikan bagi perjalanan pergi dan balik untuk rawatan kanser (Manfaat 3) dan rawatan untuk menggunakan/ memasukkan alat perubatan (Manfaat 2) di Hospital KKM mengikut tarikh temujanji yang ditetapkan.
  2. Berapakah nilai insentif tambang pengangkutan yang diberikan?
    • Nilai insentif adalah bergantung kepada jarak rumah pesakit dengan hospital.
    • Ianya dibayar ke dalam akaun penerima untuk setiap kali perjalanan pergi dan balik hospital/ rumah, sehinggalah had maksimum sebanyak RM500 (Semenanjung) atau RM1000 (Sabah/ Sarawak/ Labuan) bagi setiap penyakit.
  3. Bagaimanakah untuk membuat permohonan insentif tersebut?
    • Bagi penerima Manfaat 2 iaitu Bantuan Alat Perubatan, permohonan boleh dibuat melalui Pegawai Kerja Sosial Perubatan.
    • Bagi penerima Manfaat 3 iaitu Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser, permohonan boleh dibuat melalui doktor yang merawat penyakit kanser tersebut di Hospital KKM.
  4. Apakah yang akan berlaku jika pesakit tidak datang ke hospital?
    • Insentif ini diberikan untuk menggalakkan pesakit datang ke hospital untuk mendapat atau melengkapkan rawatan. Jika pesakit tidak datang untuk rawatan, maka pesakit tidak akan mendapat insentif tersebut.
  5. Adakah insentif ini dibayar bagi perjalanan pergi dan balik?
    • Ya, insentif ini dikira dan dibayar sebagai bantuan perjalanan 2 hala iaitu dari rumah pergi ke hospital dan seterusnya pulang ke rumah mengikut kadar dan syarat yang ditetapkan untuk PeKa B40.
  6. Bagaimanakah pembayaran Insentif Tambang Pengangkutan dibuat?
    • Setelah permohonan untuk Insentif Tambang Pengangkutan dibuat oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan atau Pegawai Perubatan yang merawat, sistem akan mengira jumlah bayaran berdasarkan jarak yang telah ditentukan.
    • Bayaran akan dibuat terus kepada akaun bank pesakit sebelum rawatan susulan akan datang.

Maklumat lanjut jenis bantuan B40

Anda juga boleh SEMAK KELAYAKAN B40

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.