Kluster Terbesar Seri Petaling TAMAT 28 Hari Tanpa Kes Baru





Kluster Terbesar Seri Petaling TAMAT 28 Hari Tanpa Kes Baru. KKM dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa, kluster COVID-19 terbesar di Malaysia, iaitu Kluster Perhimpunan Seri Petaling adalah diisytihar tamat pada hari ini.

Kluster Terbesar Seri Petaling TAMAT 28 Hari Tanpa Kes Baru

4 bulan telah berlalu sejak kluster ini mula dikesan dan hari ini tamatlah tempoh 28 hari sejak kes terakhir kluster ini dilaporkan (iaitu kes ke-8367) pada 11 Jun 2020 yang lalu. Hari ini sememangnya merupakan hari yang amat bermakna bagi Negara yang telah kita mengharunginya bersama.

Berikut adalah ringkasan Kluster Seri Petaling:

• Kluster ini telah dikesan susulan satu perhimpunan keagamaan yang telah diadakan di sebuah masjid di Seri Petaling, Kuala Lumpur. Perhimpunan tersebut telah berlangsung dari 27 Februari sehingga 3 Mac 2020 dan telah dihadiri seramai 16,000 orang (iaitu 14,500 warganegara Malaysia dan 1,500 bukan warganegara dari pelbagai negara lain).

• Kes positif COVID-19 pertama kluster ini dilaporkan di dalam negara pada 11 Mac 2020 (iaitu seminggu selepas perhimpunan berakhir), iaitu kes ke-131 dan kes ke-136. Mereka adalah warganegara Malaysia dari negeri Pahang dan Negeri Sembilan yang telah hadir perhimpunan tersebut.

• Kluster ini besar kemungkinan berpunca dari luar negara dan kemudiannya tular melalui aktiviti perhimpunan secara besar-besaran dan kontak kepada kes yang positif.

Sehingga 8 Julai 2020:

• 42,023 individu telah disaring, 3,375 kes positif COVID-19 (iaitu 38.9 peratus daripada jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia)
• Kluster dan sub-kluster di bawahnya dikesan di 7 buah negeri
• Melibatkan 2,550 warganegara Malaysia dan 825 bukan warganegara (28 buah negara)
• Kes tidak bergejala: 2,187 kes atau 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif kluster ini
• 87 pesakit telah dirawat di ICU. Daripada jumlah ini, 29 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.
• Seramai 3,341 individu telah sembuh (kadar sembuh 98.9 peratus
• 34 kematian telah dilaporkan dalam kluster ini (iaitu 28.1 peratus daripada kes kematian COVID-19 di Malaysia).
• KKM telah mengesan sebanyak 17 subkluster dalam kluster ini

Pencapaian ini merupakan kejayaan bersama bagi KKM dan agensi-agensi lain yang telah bekerjasama melalui tindakan bersepadu dalam segala pendekatan bagi mengawal dan membendung penularan jangkitan COVID-19 dalam kluster ini. Pihak media juga telah memainkan peranan besar dalam menyebarkan maklumat dan komunikasi risiko berkaitan kluster ini ke seluruh Negara.

Terima kasih diucapkan kepada pihak Masjid Seri Petaling dan para jemaah atas sokongan padu serta bantuan rapat yang telah mereka berikan, yang banyak membantu dalam tindakan mengesan, membendung dan merawat kes-kes COVID-19 terutama bagi kluster ini. KKM mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, atas sumbangan dan perkhidmatan yang komited dalam pencapaian ini.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.