1041 Kes Baru Dengan Selangor Catat Kes Tertinggi 402 Kes





1041 Kes Baru Dengan Selangor Catat Kes Tertinggi 402 Kes. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,405 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah  40,493 kes (75.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

1041 Kes Baru Dengan Selangor Catat Kes Tertinggi 402 Kes



Sehingga 21 November 2020, sebanyak 1,041 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 53,679 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 12,854 kes. Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua (2) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,039 kes adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara.

Tiga (3) negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada hari ini adalah Selangor iaitu sebanyak 402 kes (38.6 peratus), diikuti Sabah 346 kes (33.2 peratus) dan Negeri Sembilan 121 kes (11.6 peratus). Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Selangor berpunca daripada pertambahan kes bagi Kluster Teratai iaitu sebanyak 298 kes (74.1 peratus). Negeri Sabah pula mencatatkan jumlah kes yang tinggi pada hari ini disebabkan oleh pelbagai saringan COVID-19 yang giat dijalankan di sana manakala Negeri Sembilan disebabkan oleh pertambahan kes dalam kluster-kluster sedia ada.

Sebanyak 21 kes (2.0 peratus) yang dilaporkan pada hari ini pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (17 kes), Kluster Tembok (3 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes).

Perincian penuh jumlah kes mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 dan 2.

Sehingga kini, terdapat 108 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga (3) kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 332 kes (0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

MAKLUMAT TERKINI BERKAITAN KLUSTER-KLUSTER

Sehingga 21 November 2020, terdapat sebanyak 327 kluster telah dilaporkan. Pada hari ini, terdapat tiga (3) kluster baharu yang dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 168 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 36 kluster melaporkan pertambahan kes. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (299 kes), Kluster Hentian (79 kes), dan Kluster Tapak Bina Damanlela (43 kes). Ingin dimaklumkan bahawa sebanyak dua (2) kluster telah tamat pada hari ini iaitu Kluster Bah Kayu dan Kluster Lekir. Ini menjadikan jumlah kluster tamat adalah sebanyak 159 kluster.

KLUSTER BAHARU

KKM juga ingin memaklumkan terdapat tiga (3) kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu;

PENJARA JALAN HARAPAN
Kluster ini melibatkan Penjara Sungai Buloh, Selangor. Kes-kes bagi kluster ini dikesan positif COVID-19 hasil saringan kemasukan tahanan ke penjara pada 17 November 2020. Sehingga 21 November 2020, sejumlah 113 individu telah disaring, di mana 17 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER KOTA KECIL
Kluster ini melibatkan daerah Kota Tinggi, Johor. Kes indeks (iaitu kes ke- 47390) dikesan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 November 2020. Sehingga 21 November 2020, sejumlah 467 individu telah disaring, di mana sembilan (9) kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

KLUSTER SKY COKLAT
Kluster ini melibatkan daerah Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan. Kes indeks (iaitu kes ke-51581) dikesan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 19 November 2020. Sehingga 21 November 2020, sejumlah 51 individu telah disaring, di mana tujuh (7) kes telah dikesan positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Labuan.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.