Apa itu Dehidrasi ?





DEHIDRASI

Tubuh manusia memerlukan air untuk mengekalkan darah dan cecair-cecair lain secukupnya bagi membolehkannya berfungsi dengan sempurna. Di samping cecair badan, tubuh juga memerlukan bahan elektrolit, yang terdiri daripada garam yang lazimnya terdapat di dalam darah, cecair tubuh yang lain dan sel-sel. Dehidrasi merupakan kehilangan air dan garam daripada badan. Dalam bahasa Malaysia secara umumnya, ia boleh dimaksudkan sebagai kekontangan. 

Badan kita boleh kehilangan cecair melalui pelbagai cara. 
Antaranya ialah:
– Ketika membuang air kecil.
– Semasa muntah atau mengalami cirit-birit.
– Ketika berpeluh.
– Melalui paru-paru semasa bernafas. 


Jika badan kehilangan sejumlah besar cecair dan garam dan tidak digantikan dengan segera seperti meminum air, badan akan kekeringan atau kekontangan.

Walaupun sesiapa sahaja boleh mengalami dehidrasi, golongan yang paling mudah mengalami masalah ini ialah:

– Bayi yang berumur di bawah 1 tahun.
– Warga tua.
– Mereka yang mengalami demam.
– Penduduk yang tinggal di kawasan beriklim panas. 

Semasa mengalami cirit-birit, kehilangan air dan elektrolit (Natrium klorida, Potasium dan Bikarbonat) dalam najis yang cair akan meningkat. Air dan elektrolit juga akan hilang melalui peluh, muntah, air kencing dan pernafasan. Dehidrasi berlaku apabila kehilangan ini tidak diganti secukupnya dan kekurangan air serta elektrolit terjadi. Dehidrasi yang teruk boleh membawa maut.

Apakah makanan yang baik yang boleh diambil ketika cirit-birit?
– Makanan yang tinggi tenaga seperti lemak, dadih dan bijirin adalah mudah diserap ketika cirit-birit.
– Buah-buahan yang tinggi kandungan potasiumnya adalah baik untuk dimakan bagi mengembalikan semula keperluan bekalan yang berkurangan ketika cirit-birit. Buah-buahan tersebut ialah seperti pisang, mangga, nenas dan buah-buahan jenis oren. 

Sesetengah makanan perlu dielakkan ketika mengalami cirit-birit seperti makanan yang mengandungi banyak serat iaitu buah-buahan yang banyak serabut dan sayur-sayuran, bijirin tulen dan makanan pedas atau berempah.

Pencegahan
Perkara penting yang perlu dilakukan ialah sentiasa menggantikan semula cecair dan garam dalam badan yang hilang. Anda perlu minum setiap kali anda membuang air besar yang cair. Anda perlu memaksa diri anda meminum cecair sebelum terjadinya dehidrasi. Jika anda bersama seseorang yang anda fikir sedang mengalami dehidrasi, ikuti garis panduan ini bila perlu:
– Berikan lebih banyak cecair dari biasa.

– Ingat bahawa orang yang mengalami dehidrasi tidak mempunyai selera makan yang baik. Galakkannya mengambil sedikit makanan dan minuman 5-7 kali dalam sehari.

– Awasi tanda-tanda dehidrasi yang lebih teruk dan dapatkan rawatan perubatan dengan segera

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia dan Info Sihat

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.