Makanan Untuk Rambut





Tips Menjaga Rambut
Rambut

Makanan untuk rambut

PERUMPAMAAN Inggeris ada menyebut, anda adalah apa yang anda makan (you are what you eat).

Ia bukan saja merujuk kepada bentuk tubuh-badan, tapi juga rambut yang anda miliki. Sebagaimana tubuh menjadi obesiti akibat pengambilan makanan berlemak tinggi, rambut juga boleh menjadi mudarat menerusi elemen yang sama.

Pakar pemakanan berkaitan penjagaan rambut, Fanny Ling berkata, diet tinggi lemak sangat tidak baik untuk rambut dan kulit kepala.

Malah katanya, pemakanan berlemak tinggi menjadi punca kulit kepala berminyak, mudah mendapat jangkitan dan kelemumur, mengganggu imbangan hormon, menyebabkan kegemukan serta meningkatkan risiko banyak penyakit kardiovaskular.

Tambahnya, makanan manis juga tidak baik kerana boleh menyebabkan kelemumur dan kulit kepala menjadi sensitif.

Ia juga melupuskan vitamin B dalam badan dan menyebabkan kekurangan kuprum yang mengakibatkan rambut beruban.

Fanny berkata, makanan manis bergula tinggi juga mengurangkan biotin yang akan merencatkan pertumbuhan rambut sihat dan mengurangkan keamatan warna rambut.

“Dalam musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina (TBC) yang sedang disambut sekarang ini, keinginan untuk menikmati pelbagai juadah memang sukar untuk dikawal.

“Kita mesti ingat bahawa kebanyakan makanan kegemaran musim perayaan ini mengandungi banyak lemak dan gula, yang boleh memudaratkan badan dan rambut.

“Makanan seperti sosej, serunding daging, daging panggang dan nasi pulut adalah sajian utama rumah terbuka TBC. Semua makanan ini mengandungi banyak lemak,” katanya.

Begitupun Fanny berkata, bukan bermakna tidak boleh langsung menikmati makanan kegemaran tersebut, tetapi ambil secara sederhana.

Sebagai contoh katanya, lapan keping biskut mengandungi 555 kalori (kcal) dan 50 peratus lemak, ini bersamaan dengan lapan sudu teh minyak.

Untuk membakar lemak sebanyak itu, seseorang perlu berjalan selama 148 minit.

Sebaliknya ujar Fanny, cari makanan gantian yang lebih sihat seperti empat keping kuih kapit yang hanya mengandungi 135 kcal dengan enam peratus lemak atau yee sang (60g) yang hanya membekalkan 130 kcal dan enam peratus lemak.

“Untuk membekalkan nutrien pada rambut, anda memerlukan kalori secukupnya. Bergantung pada keperluan tenaga individu, seorang lelaki memerlukan purata 2.500 kcal sehari manakala seorang wanita memerlukan 2,000 kcal sehari.

” Bagi memastikan diet yang baik untuk rambut, makanan pada musim TBC atau pada bila-bila masa hendaklah mengandungi protein seperti ikan, telur dan susu yang membekalkan nutrien untuk rambut.

“Sayuran hijau gelap kaya dengan vitamin A dan beta karotena penting untuk kekalkan kesihatan tisu kulit kepala.

“Rambut memerlukan vitamin B yang meningkatkan metabolisme sel kulit kepala, pastikan anda mengambil lebih susu, bijian penuh dan sayuran hijau,” kata Fanny.

Selain itu beliau berkata, seseorang juga boleh mendapatkan vitamin C daripada buah-buahan dan sayur-sayuran yang merupakan anti oksida semula jadi dan memastikan pembentukan kolagen.

Zink juga penting kepada rambut kerana kekurangan zink boleh menyebabkan rambut kering dan kulit kepala berminyak. Dapatkan zink daripada daging, makanan laut, telur dan susu.

Mungkin ramai yang tidak tahu kuprum penting untuk mengekalkan warna dan struktur rambut dan bijian penuh, tiram, kacang dan kekacang kaya dengan kuprum.

Selain itu makan aprikot, brokoli dan kacang panggang untuk membekalkan darah dan oksigen kepada rambut.

Iodin pula yang diambil daripada makanan laut dan sayur-sayuran membantu mengawal hormon tiroid, dan akhir sekali tentulah minum banyak air untuk mengekalkan kelembapan rambut dan kulit kepala.

“Makan sekurang-kurangnya lima hidangan sayuran dan buah-buahan warna-warni sehari yang membentuk sebahagian penting daripada diet dan gaya hidup yang sihat setiap hari.

” Sayur dan buah membekalkan pelbagai vitamin, zat galian, serat dan fitokimia yang diperlukan oleh badan anda untuk mengekalkan kesihatan dan melindungi daripada kesan penuaan,” kata Fanny.

 

 

 

sumber : Utusan Malaysia – Rabu, 13/02/2013

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.