Perkara yang membatalkan puasa





ramadhan
ramadhan

Pengertian Puasa:
Puasa dalam bahasa Arab bermaksud meninggalkan. Manakala maksud di sisi ahli Feqah ialah meninggalkan diri melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa iaitu bemula daripada terbit fajar hingga terbenamnya matahari dan disertai dengan niat.

Perkara yang membatalkan puasa

(i) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan
sengaja dan tidak ada beza sama ada yang boleh
dimakan atau tidak, termasuk merokok.

• ljmak ulama mengatakan terbatal puasa dengan
makan dan minum.
• Suntikan melalui kemaluan atau dubur adalah membatalkan puasa. Manakala suntikan melalui kulit pula ulama dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat. Menurut pendapat Dr. Yusuf alQaradhawi, dia tidak membatalkan puasa.
• Perkara-perkara yang tidak dapat dihindarkan seperti habuk jalan dan air liur adalah tidak membatalkan puasa. Puasa terbatal dengan menelan kahak yang keluar dari kepala atau dada dengan sengaja.
• Batal puasa dengan memasukkan jari atau sebagainya ke dalam dubur atau faraj.
• Puasa adalah terbatat dengan memasukkan sesuatu ke dalam telinga dengan sengaja.
• Kesemua perkara tadi jika dilakukan dengan tidak sengaja, tersilap atau terlupa maka dia tidak membatalkan puasa.

(ii) Muntah dengan sengaja (seperti kerana memasukkan jari ke dalam mulut) adalah membatalkan puasa dan wajib diganti. Bagi muntah yang tidak sengaja atau menjadi kebiasaannya muntah maka itu tidak membatalkan puasa.

Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Ertinya: “Sesiapa yang biasa muntah dan dia berpuasa
maka tidak wajib ke atasnya qadha’ puasa, dan sesiapa
yang sengaja muntah, maka hendaklah mengqadhakannya”.

(iii) Keluar darah haid dan Nifas walaupun di penghujung waktu puasa adalah dikira membatalkan puasa dan wajib diganti.

(iv) Keluar air mani dengan sengaja sama ada kerana bercumbuan atau memeluk isteri, atau dengan tangan maka ianya membatalkan puasa dan wajib diganti.

• Sekiranya air mani itu keluar kerana mimpi atau berangan-angan maka tidaklah membatalkan puasa.
• Keluar air Mazi tidak membatalkan puasa.

(v) Jimak (bersetubuh):
• Haram berjimak bagi orang yang berpuasa pada siang harinya dan ia membatalkan puasa tidak kira sama ada ia dilakukan di faraj atau dubur, keluar air mani ataupun tidak. Liwat yang dilakukan pada lelaki, kanak-kanak atau binatang juga adalah membatalkan puasa.
• Suami dan isteri yang melakukan jimak maka wajib ke atas kedua-duanya mengqadha’kan semula puasa mereka yang terbatal.
• Kaffarah (denda) hanya wajib ke atas lelaki (suami) dan tidak wajib ke atas perempuan.
• Kadar Kaffarah ialah membebaskan seseorang hamba. Bagi yang tidak ada hamba maka hendaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Sekiranya tidak mampu, dikehendaki memberi makan enam puluh orang fakir miskin.
• Sesiapa yang menjimak isteri sebanyak dua hari berpuasa atau lebih, maka kaffarahnya juga ialah dua kali kaffarah atau lebih.

(vi) Murtad:
Ulama bersepakat bahawa sesiapa yang murtad maka batallah puasanya dan wajib qadha hari yang dia murtad, sekiranya dia kembali memeluk Islam.

(vii) Gila atau pengsan, sekiranya berlaku sepanjang hari dan dia tidak sedar walaupun satu saat maka batal puasanya.

(viii) Menukar niat:
Sesiapa yang berniat buruk untuk berbuka puasa maka batal puasanya. Pendapat ini dipegang oleh Imam Syafie, Abu Thaur, Abu Hanifah dan pendapat yang paling jelas dalam Mazhab Hanbali

Ganjaran Puasa
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.

Kelebihan Bulan Ramadhan
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Apabila datangnya bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka, manakala pintu-pintu neraka ditutup, syaitan dirantaikan.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.