Hukum Menyebarkan Gambar/Video Pelaku Maksiat Untuk Pengajaran





abgferoz
abgferoz

Hukum Menyebarkan Gambar/Video Pelaku Maksiat Untuk Pengajaran

ISU : Apakah hukum menyebarkan gambar/video pelaku maksiat untuk tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

PENJELASAN :
Mencegah kemungkaran yang berlaku di hadapan mata merupakan satu kewajipan. Firman Allah SWT Surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud, “Kamu ialah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.”

Abu Sa’id al-Khudri melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, “Sesiapa dalam kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah mengubahnya dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah mengubahnya dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim).

Umat Islam diwajibkan untuk mencegah kemungkaran kerana membenci perbuatan mungkar tersebut bukan membenci individu yang melakukannya. Pada suatu hari Abu Darda’ bertemu dengan seorang lelaki yang telah melakukan dosa dan orang ramai di sekitarnya sedang menghina dan mencerca lelaki tersebut. Abu Darda’ berkata, “Apa pendapat kamu, jika lelaki ini jatuh di dalam lubang yang dalam, adakah kamu akan berusaha untuk mengeluarkannya?” Orang ramai menjawab, “Ya, sudah tentu.” Abu Darda’ berkata lagi, “Jika begitu, janganlah kamu menghina saudara kamu ini. Pujilah Allah kerana Dia telah menyelamatkan kamu daripada melakukan dosa sepertinya.” Mereka bertanya, “Tidakkah kami boleh memarahinya?” Abu Darda’ menjelaskan, “Sesungguhnya aku membenci perbuatan dosanya sahaja. Jika dia telah meninggalkan dosa itu, dia tetap saudaraku.”

Menghina dan mencerca pelaku dosa tidak bertepatan dengan etika mencegah kemungkaran mengikut sunnah Nabi Muhammad saw. Bahkan ia termasuk dalam perbuatan yang disukai oleh Syaitan. Abdullah bin Mas’ud berkata, “Jika kamu melihat saudara kamu melakukan sesuatu dosa, maka janganlah kamu menjadi pembantu Syaitan ke atasnya dengan kamu berkata kepadanya ‘Ya Allah celakakanlah orang itu! Ya Allah laknatlah orang itu!’. Tetapi hendaklah kamu mendoakan pelaku dosa itu agar dia diampunkan oleh Allah. Sesungguhnya kami para sahabat Nabi Muhammad saw tidak akan melabelkan seseorang itu, sehingga dapat disahkan bagaimana akhir hayat orang itu. Jika dia mati dalam keadaan yang baik, maka kami tahu dia telah memperoleh kebaikan, Tetapi jika dia mati dalam keadaan yang jahat dan buruk, maka kami sembunyikan keburukan itu.”

Oleh itu, hukum menyebarkan gambar orang yang melakukan dosa adalah haram, kerana ia termasuk dalam mengaibkan saudara seagama. Ia juga termasuk dalam perbuatan membantu Syaitan menyebarkan maksiat di atas muka bumi ini. Niat agar orang lain mengambil pengajaran, tidak menghalalkan perbuatan yang haram tersebut. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 19, “Sesungguhnya orang-orang yang suka menyebarkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” Thauban melaporkan, Rasulullah saw bersabda, “Janganlah kamu menyakiti hamba Allah dan janganlah kamu memalukan mereka. Serta janganlah kamu dedahkan keaiban mereka. Sesungguhnya sesiapa yang mendedahkan keaiban saudara seagamanya, maka Allah akan dedahkan keaiban orang itu, sehingga apa yang berlaku di dalam rumahnya pun Allah akan dedahkan.” (Hadis direkod oleh Imam Ahmad).

Wallahu a’lam

Sumber : e-Fatwa

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.