5 Amalan Pemberi Syafaat





5 Amalan Pemberi Syafaat.  Pemberi syafaat di akhirat ialah orang tengah antara kita dengan Allah. Dia akan akan bercakap, memohon atau membela kita di hadapan Allah agar kita selamat dan akhirnya berjaya bergelar ahli syurga.

5 Amalan Pemberi Syafaat

permandangan indahNah, sekarang adakah sesiapa yang tidak mahukan pemberi syafaat?
Jom semak diri sama ada lima amalan ini ada dalam akaun amalan kita atau tidak.

Membaca al-Quran
“Bacalah al-Quran. Sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat sebagai pembela orang yang bersahabat dengannya. Bacalah dua penyinar; al-Baqarah dan Ali ‘Imran.

Kerana kedua-duanya akan datang pada hari kiamat bagaikan dua buah awan berarak atau dua kumpulan burung terbang sekawan. Kedua-duanya akan berhujah membela orang yang bersahabat dengannya.” (Riwayat Muslim)

Berpuasa
“Puasa dan al-Quran akan memohon syafaat untuk hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Ya Tuhan, aku menghalangnya daripada makanan dan syahwat pada siang hari, maka terimalah syafaatku untuknya.

Al-Quran pula berkata: ‘Aku menghalangnya daripada tidur pada malam hari, maka terimalah syafaatku untuknya.” (Riwayat Ahmad)

Berjihad lalu syahid
“Orang syahid mendapat enam perkara keistimewaan di sisi Allah; dia diampuni terus sebaik titisan darah pertamanya, dia dapat melihat tempatnya di dalam syurga, dipelihara daripada terkena azab kubur… dan diterima syafaatnya untuk 70 orang sanak saudaranya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Menolong orang
“Kelak akan ada seorang hamba menghadap Allah: ‘Apa amalan yang kamu telah lakukan di dunia?’

Dia menjawab: ‘Aku tidak beramal walau sekecil zarah pun kebaikan yang boleh aku harapkan pada-Mu dengannya.’

Allah mengulangi soalan yang serupa tiga kali. Lalu pada kali ketiga dia pun menjawab: ‘Wahai Tuhanku, Dulu Engkau kurniaiku kelebihan harta di dunia lalu aku berniaga.

Antara perangaiku, aku suka bermudah-mudah dengannya. Aku memudahkan lagi orang yang mudah membayar, sanggup memberi tangguh kepada yang tidak mampu membayar.”

Kemudian Allah berfirman: “Kami lebih patut bersikap demikian daripada engkau. Lepaskan hamba-Ku ini. Lalu dia diampuni.” (Riwayat Ahmad)

Istighfar anak
“Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat seorang hamba soleh di dalam syurga. Maka dia bertanya: Ya Tuhan, dari mana datang semua ini untukku?”

Allah menjawab: “Hasil istighfar anakmu.” (Riwayat Ahmad)

Dan lumrahnya, anak-anak yang ingat untuk beristighfar bagi ibu bapanya datang daripada ibu bapa yang memberi didikan agama yang sebaik-baiknya. Dalam kata lain, syafaat ini datang daripada amalan diri sendiri juga.

Jom baiki diri dengan membaca #Solusi101-Berkiranya Kita dengan Allah.

kredit : Fb Uswatun Hasanah

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.