Hukuman Lebih Berat Terhadap Pemandu Mabuk





Hukuman Lebih Berat Terhadap Pemandu Mabuk. KABINET bersetuju meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, pengaruh dadah serta secara bahaya.

Hukuman Lebih Berat Terhadap Pemandu Mabuk

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, akta sedia ada akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat dan setimpal kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibincangkan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

“Kajian itu akan mengambil masa beberapa bulan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada seisi kedua pada Jun atau Julai,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Kamarudin Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Kesalahan mengikut Seksyen 41 Akta 333 memperuntukkan mana-mana pihak yang didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Anthony berkata, peruntukan undang-undang lain yang akan dikaji semula termasuk had ditetapkan kandungan alkohol dalam darah pemandu.

Menurutnya, ketika ini undang-undang semasa membenarkan sehingga 80mg alkohol dalam 100ml darah manakala had antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah 50mg dalam 100ml darah.

“Perkara ini perlu dikaji semula dan pada masa mereka yang didapati memandu dalam keadaan mabuk melebihi had dibenarkan sehingga menyebabkan kematian boleh dikenakan hukuman lebih berat.

“Kita juga akan mengkaji semula peruntukan bagi memastikan pemandu yang didapati bersalah memandu secara tidak berhemah menerima hukuman yang lebih sesuai.

“Kementerian juga akan mempertingkat kempen terhadap pemanduan mabuk dengan mengarahkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk meningkatkan kempen ‘Jangan Minum dan Memandu’ bagi mengingatkan orang ramai agar tidak memandu ketika mabuk,” katanya.

Kredit : HMetro

Semoga akta ini dikemaskini dengan hukuman lebih berat dikenakan kepada pemandu mabuk seterusnya mengurangkan kadar kemalangan terutamanya yang melibatkan kehilangan nyawa.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.