Sah atau Tidak Niat Puasa Sebulan ?





Sah atau Tidak Niat Puasa Sebulan ?. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad , ahli keluarga baginda ﷺ, sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda .Niat merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib. Tanpa niat maka tidak sah puasa seseorang itu. Ini kerana berpuasa itu adalah satu ibadah (ibadah mahdhoh) dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat. Firman Allah

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”.

Sah atau Tidak Niat Puasa Sebulan ?



Menurut pandangan mazhab Syafie, niat puasa diwajibkan untuk dilakukan bermula pada tiap malam sehingga sebelum terbit fajar. Tidak sah jika diniatkan puasa sebulan. Jika diniatkan puasa sebulan penuh pada malam pertama Ramadan, niat itu hanya sah dikira untuk puasa bagi hari pertama sahaja menurut ulamak mazhab Syafie, tidak dikira untuk malam yang lain. 

Walau bagaimanapun, niat puasa sebulan sekaligus dikira sah menurut ulamak mazhab Maliki . Beberapa ulamak Syafieyah membenarkan untuk bertaqlid dengan mazhab Maliki dalam hal ini antaranya dapat ditemui dalam kitab: 

- Busyra al-Karim

- Hasyiah al- Syarqawi

- al-Manhaj al-Qawim

- Hasyiah al-Bajuri 

Di dalam Hasyiah al-Qolyubi: 

وينْدب أَنْ ينوي أَوّل ليلة صوم شهْر رمضان أَوْ صوم رمضان كلّهُ لينفعَه تقليد الْإِمام مالك في يوم نسي النّيّة فيه مثلًا لأَنّها عِنْدَهُ تكفي لجمِيع الشّهْر ، وعنْدنا للّيلة الْأُولى فقطْ . 

"Dan dianjurkan untuk berniat pada malam pertama Ramadan diniatkan puasa sebulan penuh untuk mengambil manfaat bertaqlid kepada mazhab Imam Malik agar dapat menampung pada hari yang terlupa untuk berniat contohnya hal ini kerana di sisi Malik ia (niat) sebulan penuh memadai bagi sebulan keseluruhannya. Di sisi kami (mazhab Syafie), niat seperti itu hanya memadai untuk malam pertama sahaja" 

[al-Qalyubi, Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi Al-Misri (1995), Hasyiah Qalyubi ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin, Beirut: Dar al-Fikri, jil. 2, hal 66] 

Namun bagi wanita yang telah niat sebulan penuh pada malam pertama Ramadan kemudian telah berpuasa beberapa hari, setelah itu mengalami haid. Apabila telah suci dan ingin berpuasa semula perlu memperbaharui niat puasa mereka semula. 

Kesimpulannya, sah untuk berniat sebulan penuh menurut mazhab Maliki. Walaupun ulamak Syafieyah membenarkan bertaqlid dengan mazhab Maliki untuk berniat sebulan terus, mereka tetap menganjurkan untuk berniat pada tiap-tiap malam. 

Selamat berpuasa. 

kredit : Dr Rozaimi Ramle


Tarjih Pejabat Mufti WPKL

Berdasarkan dalil dan juga alasan yang diberikan dalam permasalahan ini, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur dan ianya juga adalah pendapat mazhab kita, mazhab al-Syafi’ie iaitu niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa. Adapun pendapat yang mengatakan boleh berniat sekaligus untuk berpuasa selama sebulan di permulaan niat, maka kami katakan tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam masa yang sama hendaklah seseorang itu berniat juga pada setiap malam.

Wallahu a’lam.

Artikel Pejabat Mufti WPKL

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.