Perkara Sunat dan Syarat Korban





kambing korban
kambing korban

Perkara Sunat dan Syarat Korban – Korban Dari segi bahasa, korban bermaksud sesuatu yang dikorbankan kerana Allah subhanahu wata‘ala. Dari sudut syara‘, korban bermaksud menyembelih binatang yang tertentu pada masa-masa yang tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wata‘ala.

Pensyari’atan Dan Hikmahnya
Korban telah disyari‘atkan pada tahun kedua hijrah sama seperti ibadah zakat dan sembahyang Hari Raya.
Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya:
“Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban (sebagai tanda syukur)” (Surah Al-Kauthar 108:2)

Hikmah disyari‘atkan korban ialah sebagai tanda bersyukur kepada Allah subhanahu wata‘ala di atas segala nikmatNya yang berbagai dan juga di atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun.
Ia juga bertujuan menjadi kifarah bagi pelakunya, sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan di samping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berkorban dan juga mereka yang lain.
Korban tidak memadai dengan menghulurkan nilai harganya, berbeza dengan ibadah zakat fitrah yang bermaksud memenuhi keperluan golongan fakir, Imam Ahmad dikatakan menyebut amalan menyembelih korban adalah lebih afdhal daripada bersedekah dengan nilai harganya.

Hukum Melakukan Korban
Hukum melakukan korban ialah sunnah mu’akkadah bagi sesiapa yang mampu melakukannya.

Sabda Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud:
“Aku diperintahkan agar menyembelih qurban dan ia sunat bagi kamu”
(Riwayat Tirmizi)

Pembahagian Ibadah Korban
Terdapat dua jenis Korban iaitu korban wajib dan korban sunat.
1. Korban Wajib
2. Korban Nazar.
Contohnya apabila seseorang menyebut, “Kerana Allah wajib ke atasku berqurban seekor kambing atau seekor unta ini” ataupun dengan menyebut, “Aku jadikan kambing ini sebagai korban”

Sama sahaja hukumnya dalam hal sama ada yang menyebutnya itu seorang yang kaya ataupun seorang fakir. Binatang yang dibelikan untuk tujuan korban oleh seorang fakir. Apabila seorang fakir membeli seekor kambing dengan niat untuk dikorbankan, maka ia menjadi wajib. Ini kerana membeli dengan tujuan berkorban oleh seseorang yang tidak wajib melakukannya dikira wajib kerana perbuatan ini dikira sebagai satu nazar.

Korban Sunat
Korban sunat ialah korban yang dilakukan oleh seseorang yang berkemampuan melakukannya sama ada miskin ataupun yang bermusafir, yang tidak berniat nazar atau membeli dengan tujuan korban.
Syarat-Syarat Korban

Syarat korban dapat dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:
1. Syarat Wajib/Sunat Korban.
2. Syarat Sah Korban.
3. Syarat Mereka Yang Dituntut Berkorban.

Syarat Wajib/Sunat Korban
1. Untuk dijadikan ibadah korban wajib ataupun sunat adalah disyaratkan dia mampu melaksanakannya.
2. Orang yang dianggap mampu ialah mereka yang mempunyai harga untuk binatang korban yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang di bawah tanggungannya untuk hari raya dan hari–hari tasyrik kerana inilah tempoh masa bagi melakukan korban tersebut.
3. Kedudukannya sama seperti dalam masalah zakat fitrah, mereka mensyaratkan ia hendaklah merupakan yang lebih daripada keperluan seseorang juga keperluan mereka yang di bawah tanggungannya pada hari raya puasa dan juga malamnya sahaja.

Syarat Sah Korban
1. Hendaklah binatang yang diqurbankan itu tidak mempunyai sebarang kecacatan yang menyebabkan kekurangan kuantiti dagingnya ataupun menyebabkan kemudharatan terhadap kesihatan. Contohnya cacat yang teruk pada salah satu matanya, berpenyakit yang teruk, tempang atau kurus yang melampau.
2. Hendaklah korban itu dalam masa yang tertentu iaitu selepas sembahyang Hari Raya Haji pada 10 Zulhijjah hingga sebelum terbenam matahari pada akhir Hari Tasyrik iaitu pada 13 Zulhijjah.
3. Hendaklah disembelih oleh orang Islam.
4. Orang yang berkongsi mengorbankan unta atau lembu tidak lebih dari tujuh orang di mana masing–masing menyumbang 1/7 bahagian.

Syarat Mereka Yang Dituntut Berkorban
1. Islam.
2. Merdeka.
3. Aqil Baligh.
4. Bermukim atau Musafir.
5. Berkemampuan.

Waktu Pelaksanaan Ibadah Korban
Waktu bagi menyembelih korban bermula setelah selesai sembahyang Hari Raya dan bacaan khutbahnya iaitu setelah naik matahari sekadar segalah. Masanya berterusan siang dan malam sehingga Hari Tasyrik yang akhir iaitu sebelum terbenam matahari pada hari tersebut. Ini berdasarkan hadis Nabi yang diriwayat oleh Al-Barra’ bin ‘Azib :

“Perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini ialah bersembahyang, kemudian kita balik dan melakukan penyembelihan korban. Sesiapa yang melakukan demikian maka dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum itu, maka ia merupakan daging yang disediakan untuk ahli keluarganya. Ia tidak dikira sebagai ibadah khas (korban) ini sedikit pun.”

Perkara Sunat Ketika Berkorban
1. Sunat menambat binatang yang hendak diqurbankan itu beberapa hari sebelum disembelih.
2. Digantung tanda pada binatang yang hendak dikorbankan.
3. Dibawa dengan baik dan ihsan ketika ke tempat penyembelihan.
4. Disunatkan juga orang yang berkorban menyembelihnya.
5. Sunat dihadapkan ke arah qiblat ketika menyembelih korban.
6. Sunat memilih binatang yang paling gemuk, terelok dan terbesar untuk dijadikan korban.
7. Sunat digunakan alat yang paling tajam dan diperbuat daripada besi.
8. Setelah selesai disembelih maka sunat ditunggu sehingga binatang yang disembelih itu sejuk dan semua anggota tidak bergerak lagi.
9. Sunat bagi mereka yang mahu melakukan korban tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga telah selesai berkorban.
– Binatang korban sunat dibaringkan di atas rusuk kiri sebelum dilakukan penyembelihan.
– Sunat ketika sembelihan korban dilakukan adalah seperti berikut:
– Membaca basmalah.
– Bersalawat ke atas Nabi Muhammad.
– Binatang diarahkan ke arah qiblat.
– Bertakbir sebelum atau selepas membaca basmalah.
– Berdoa.

10. Orang yang berkorban hendaklah membaca doa seperti berikut :
“Ya Allah, ini adalah nikmat yang datang dariMu dan dengannya aku mohon untuk dapat mendampingiMu.”
11. Sunat wakil yang melakukan sembelihan menyebutkan orang yang mewakilkannya seperti:
“Dengan nama Allah dan Engkau Yang Maha Besar, ini daripadaMu dan untukMu.Terimalah Ya Allah daripada si pulan, si pulan…..”

Perkara Makruh Ketika Berkorban
1. Berlaku kasar kepada binatang yang hendak dikorbankan seperti mengheret atau memukul semasa membawa ke tempat sembelihan atau seumpamanya.
2. Memerah susu atau menggunting bulu atau mengambil sebarang faedah dari binatang yang hendak dijadikan korban.
3. Tidak menghadapkan ke arah qiblat semasa sembelihan dilakukan
4. Bercukur atau memotong kuku setelah tiba bulan Zulhijjah hingga penyembelihan korban selesai dijalankan.
5. Binatang yang telah dibeli untuk tujuan korban adalah makruh dijual kerana ia telah ditentukan untuk korban.

Hukum Daging Korban
1. Korban yang wajib iaitu yang dinazarkan ataupun yang ditentukan sama ada dengan menyebut, “Ini adalah korban”, maka orang yang berkorban tidak boleh memakannya. Dia wajib menyedekahkan semuanya sekali.
2. Anak kepada binatang korban yang ditentukan juga, perlu disembelih seperti ibunya, tetapi bezanya ia boleh dimakan kesemuanya oleh tuan yang mengorbankannya kerana disamakan dengan hukum susu, kerana tuannya harus meminum susu binatang korban yang selebih daripada anaknya walaupun perbuatan itu makruh.
3. Bagi korban sunat, maka tuannya sunat memakannya, iaitu yang afdhalnya dia hendaklah memakannya beberapa suap sebagai mengambil berkat.Ini bersesuaian dengan firman Allah subhanahu wata‘ala:

Maksudnya:
Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
(Surah Al-Hajj, 22:28)

Hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi pula ada menyebut bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah memakan sebahagian daripada hati binatang korbannya. Hukum memakan daging korban pula tidak wajib, ini berdasarkan firman Allah subhanahu wata‘ala

Maksudnya:
Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syi‘ar agama Allah untuk kamu, pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu.
(Surah Al-Hajj, 22:36)

Untuk maklumat Lengkap Layari Website Sumber dibawah

Sumber : IslamGRID

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.