Kisah Teladan Doa Adik dan Abang





doa
doa

Kisah Teladan Doa Adik dan Abang. Kisah mengenai dua beradik yang tinggal di hulu kampung. Kedua-duanya anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Ibu bapa mereka adalah hamba Allah SWT yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan Allah SWT.

Si abang saban hari berdoa agar Allah SWT mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada Allah agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada Allah SWT agar dirinya kaya raya.

Si adik pula, seorang yang buta huruf tidak berapa pandai membaca dan menulis. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya mengajarkannya membaca dan menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.

Akhirnya, Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengan si abang. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.

Si abang hidup kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki dunia perniagaan. Dia sudah mula alpa dengan Allah SWT, melewat-lewatkan solat, jarang membaca al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada Allah SWT. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondog-bondong doanya kepada Allah. Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia sangat istimewa.

Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hanya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik juga rajin berdoa. Si abang tahu, adik rajin berdoa. Tapi Si abang melihat hidup adiknya tidak berubah-ubah.

Lantas satu hari, ketika Si abang menziarahi adiknya, Si abang berkata dengan sombong:

“Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa sahaja Allah makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.”

Si adik hanya tersenyum. Abangnya berasa tegurannya itu amat bermakna namun Si adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang.

Satu hari, Si adik meninggal dunia. Ketika Si abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa. Si abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.

Kertas itu tertulis: “Ya Allah, Engkau makbulkanlah segala doa abang aku”.

Abang mula sedar. Adiknya kekal taat kepada Allah SWT dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan Allah SWT. Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada Allah, malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa abang dimakbulkan. Si abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan adik. Abang mula sedar bukan doanya yang makbul. Tetapi doa adiknya telah diterima oleh Allah SWT, lantas segala doanya menjadi makbul.

*Pengajaran daripada kisah ini:
Kita janganlah berasa takbur dan berpuas hati apabila doa kita sentiasa dimakbulkan sedangkan kita tidak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita dan bukannya doa kita. Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah kepada diri kita. Jangan berasa doa kitalah yang makbul. Doa itu hanya sebahagian daripada usaha.

Semoga ia menjadi pengajaran untuk kita semua.

Sumber : Dakwah JAKIM

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.