Biodata Tun Hussein Onn





Biodata Perdana Menteri Malaysia Ke 3 Tun Hussein OnnTun Hussein Onn, merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke 3, memimpin negara dari tahun 1976 hingga 1981. Beliau dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada 12 Februari 1922 dan merupakan cahayamata kepada Dato Onn Jaafar dan Datin Halimah Hussein.

Biodata Perdana Menteri Malaysia Ke 3 Tun Hussein Onn

Tun Hussein Onn
Tun Hussein Onn

Tun Hussein Onn menerima pendidikan awal di Singapura dan English College di Johor Bahru. Selepas tamat sekolah, beliau menyertai Pasukan Pertahanan Johor sebagai kadet pada tahun 1940 dan setahun kemudian dihantar ke Indian Militatary Academy di Dehra Dun, India. Selepas tamat latihannya, beliau diserap ke pasukan Indian Army dan berkhidmat di Timur Tengah semasa meletusnya Perang Dunia ke Dua. Selepas peperangan, pihak British telah mengambil beliau beliau sebagai jurulatih di Pusat Rekrut dan Latihan Polis Malaya di Rawalpindi.

Tun Hussein Onn kembali ke Malaysia pada tahun 1945 dan dilantik sebagai Komandan Polis Depot Johor Bahru. Pada tahun berikutnya beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaya sebagai Penolong Pentadbir di Segamat, Johor. Kemudiannya, beliau dipindahkan ke Selangor sebagai Pegawai Daerah Kelang dan Kuala Selangor.

Tun Hussein, yang berasal dari keluarga yang begitu mendalam semangat nasionalismenya dan dengan darah politik yang mengalir ditubuhnya, beliau berhenti dari perkhidmatan awam untuk menyertai politik. Pada 1949, beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO yang pertama, iaitu parti yang ditubuhkan dengan bantuan bapanya. Pada 1950, beliau dipilih sebagai Setiausaha Agong UMNO. Bagaimanapun, Tun Hussein meninggalkan UMNO pada 1951 untuk menyertai bapanya menubuhkan parti baru iaitu Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Malangnya IMP tidak mendapat sambutan dan Tun Hussein ke London untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang undang-undang di Lincoln’s Inn, melayakkan diri sebagai Barrister-at-Law. Beliau kembali sebagai seorang peguam bertauliah dan bekerja di Kuala Lumpur.

Tun Hussein kembali ke arena politik pada tahun 1968 apabila dipujuk oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak untuk menyertai semula UMNO. Beliau bertanding dan menang dalam Pilihanraya Umum 1969 dan kemudian dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Pada 13 Ogos 1973 Tun Hussein telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan tempat Allahyarham Tun Dr Ismail. Pada15 Januari 1976 beliau dilantik pula sebagai Perdana Menteri Malaysia selepasnya kematian Tun Abdul Razak.

Tun Hussein amat menekankan isu-isu perpaduan melalui polisi-polisi yang menjurus ke arah matlamat perpaduan negara dengan mengimbangkan kedudukan ekonomi antara kaum. Sebagai contoh, pada 20 April 1981 menyaksikan lahirnya Skim Amanah Saham Nasional. Beliau juga memberi perhatian yang serius terhadap konsep Rukun Tetangga dan usaha-usaha memerangi dadah.

Tun Hussein Onn
Tun Hussein Onn

Tun Hussein, yang berkahwin dengan Toh Puan Suhaila Tan Sri Haji Mohd Noah menjalani rawatan jantung pada awal 1981. Beliau memutuskan untuk bersara dari politik pada 17 Julai 1981 dan sekaligus meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1990 pada usia 68 tahun.

Tun Hussein Onn kini dikenang sebagai Bapa Perpaduan bagi mengenangkan segala jasa dan usahanya dalam memupuk perpaduan di negara ini.

Sumber : Pejabat Perdana Menteri

Biodata Perdana Menteri Malaysia 1 Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
Biodata Perdana Menteri Malaysia 2 Tun Abdul Razak Hussein
Biodata Perdana Menteri Malaysia 3 Tun Hussein Onn
Biodata Perdana Menteri Malaysia 4 Tun Mahathir bin Mohamad
Biodata Perdana Menteri Malaysia 5 Abdullah bin Ahmad Badawi
Biodata Perdana Menteri Malaysia 6 Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.